Wednesday, 11 April 2018

Cerpen : LEPASKAN AKU

KENANGAN… Ya, kenangan itu memang susah untuk dilupakan kerana kenangan itu sentiasa ada di setiap perjalanan hidup kita. Begitulah dengan kisah hidup Naura Delisha yang sentiasa dihimpit dengan kenangan yang penuh dengan drama manusia.
Bak kenangan pahit, manis bagai berada di awang-awangan semuanya sudah Naura lalui. Lima tahun dia menanti seseorang yang tak pernah nampak usahanya untuk mendapatkan kasih sayang mereka kembali. Lima tahun juga dia sanggup menolak mana-mana cinta demi permata di dalam hatinya.
Naura cukup menjaga hati dan juga dirinya selama lima tahun ini sehingga dia berjaya menggulung segulung ijazah di University Oxford, United Kingdom. Setahun sekali dia pulang ke Malaysia untuk melawat keluarganya dan berhasrat untuk bertemu Iskandar. Tetapi, lelaki itu sering memberikan alasan untuk mereka bertemu. Disebabkan itulah Naura nekad untuk berubah dan juga mengubah dirinya sehingga menjadi cantik dia tidak menyangka sifat lemah lembutnya juga turut berubah. Dia menjadi seorang yang degil dan juga keras kepala sekarang ini.
“NAURA!” Sapa Eryna membuatkan Naura tersentak dari lamunannya.
“Apa dia?” Ujarnya sambil tangannya ligat menaip kerjanya di Microsoft Word.
“Kau ni, buat kerja ke mengalamun? Sampai aku usha-usha kau pun kau tak perasan. Ni sebenarnya aku nak jemput kau datang rumah aku esok malam. Aku ada buat majlis hari jadi anak aku, si Fiqa tu…” Getus Eryna lalu menghulurkan sekeping kad jemputan kepada teman sekerjanya itu.
“Thanks Ryn. Oh, kau ada anak eh?” Naura mencapai kad itu lalu membukanya. Comel! Kad jemputan yang penuh dengan gambar Frozen. Matanya hanya tertancap pada nama Eryna dan juga anak perempuannya, Fiqa.
“Kan aku pernah bagitahu kau yang aku ada anak sayang oi! Tulah mengelamun lagi. Semua tak ingat!”
“Oh… Dah besar dah anak kau. Dalam kad ni tulis anak kau nak masuk lima tahun eh,” ujar Naura sambil tersengih-sengih.
“Ya, datang tau Naura. Jangan tak datang!”
“InsyaAllah kalau tak ada apa-apa, aku datang…”
******
MALAM itu Naura hanya bersolek nipis dan memakai jubah yang pernah dihadiahkan oleh seseorang dulu.
Sampai saja di rumah teres Eryna, Naura terus bersalaman dan berkucup pipi dengan teman sekerjanya itu. Kemudian, dia menuju ke arah Fiqa yang sedang sibuk menerima hadiah dari teman-teman Eryna yang lain.
“Hai Fiqa comel, aunty datang ni bawak teddy bear. Suka tak?” Sapa Naura ramah. Naura menghulurkan teddy bear itu kepada Fiqa lantas memeluknya sambil mengucup tangan Naura.
“Hai aunty cantik… Mestilah Fiqa suka. Teddy bear ni comel sangat!” Balas Fiqa. Tangannya tidak lepas memeluk teddy bear itu.
“Aunty kejap lagi Fiqa nak potong  dengan mama dengan papa… Aunty pun ikut sekali eh…”
“Ya, sayang…”
******
Sebelum mereka memulakan acara memotong kek, Naura bergegas menuju ke Eryna untuk bertanya tentang di mana tandas di rumah ini berada.
“Ryn, aku nak tumpang tandas. Aku dah tak tahan ni…” Getus Naura.
“Kau pergi tandas kat bilik aku jelah. Sebab tandas bawah ni bersepah sikit. Yalah sebab petang tadi kan aku sibuk masak dengan suami aku pastu banyak guna tandas bawah pulak….” Ujar Eryna panjang lebar. Naura nak tumpang tandas bukan dengar huraian Eryna, isy!
Usai melepaskan hajat, Naura sempat memerhatikan keadaan bilik Eryna. “Besarnya bilik dia,” getusnya sendirian.
Ketika dia mahu melihat gambar-gambar yang terletak di atas meja, seseorang telah masuk. Naura berpura-pura seperti dia tidak buat apa-apa.
******
Iskandar merenung gadis yang berada di dalam biliknya itu. Jubah yang dipakai gadis itu meningatkannya pada seseorang. Dia tidak sabar mahu melihat gadis itu menoleh.
Apabila Naura ingin mengatur langkah keluar dari bilik itu, alangkah terkejutnya dia melihat susuk tubuh lelaki yang selama ini dia tunggu, lelaki yang pernah dicintai bagai nak gila separuh mati dia berharap kepada lelaki ini dulu. Sekarang Iskandar berdiri tegak di depannya.
Masing-masing membisu dan mendiamkan diri. Akhirnya Iskandar menyapa Naura lembut.
“Hai… Err, Naura Delisha?”
Naura kaku di situ. Dia enggan berkata-kata sekarang ini. Kalau nak diikutkan hatinya, dia ingin memeluk erat tubuh Iskandar seperti dulu.
“Excuse me, saya keluar dulu. Ni bilik orang, Nanti dia cakap apa pulak,”
******
“Abang, Fiqa nak abang potong kek sekali,” pinta Eryna lalu menarik lengan suaminya.
Naura tersentak apabila melihat Eryna memanggil Iskandar dengan panggilan“Abang.” Ini bermakna Iskandar kini sudah menjadi suami orang? Dan mereka sudah pun dikurniakan anak perempuan yang sungguh comel. Habis tu aku? Aku ni apa? Tunggul kayu yang selama ni tunggu dia bagai nak gila, sanggup ubah diri aku jadi cantik sebab dia. Sebab aku sayang, aku ubah diri aku, jaga diri aku sebab dia. Semua hanya kerana dia. Tapi dia?
Dia curang. Dia sanggup kahwin dengan orang lain dan tinggalkan aku macam orang bodoh tak ada perasaan. Dia ingat aku ni apa? Batu yang tak ada perasaan?
Ya Allah. Kuatkanlah aku untuk reda tengok semua ni jadi depan mata aku sendiri. Air mata Naura deras mengalir lalu mengatur langkah perlahan-lahan keluar dari ruang tamu itu.
Hatinya pedih bagai disiat-siat apabila melihat drama yang direka oleh Iskandar sendiri.
“Aunty!” Laung Fiqa kuat memanggil Naura.
Langkah Naura terhenti. Dia cuba menahan sebak.
“Aunty nak pergi mana? Fiqa tak potong kek lagi. Jomlah ikut Fiqa potong kek,” Lantas Fiqa menarik tangan Naura membuntutinya. Naura hanya tersenyum nipis melihat Iskandar dan juga keluarganya bahagia.
Dia bahagia tanpa aku. Mungkin Allah sudah aturkan segalanya. Eryna layak memiliki Iskandar dan menjadi ibu yang bertanggungjawab kepada Fiqa. Dia sedari tadi menangis di dalam hatinya.
******
Sudah seminggu Naura tidak datang kerja kerana demam panas. Eryna hairan mengapa sikap Naura tiba-tiba berubah dan terus demam panas seperti ini. Dia ingin melawat Naura tetapi dia sibuk dengan kerjanya.
“Abang, saya ada sesuatu nak cakap dengan abang,” getus Eryna kepada Iskandar.
“Cakap jelah…”
“Esok saya cuti tahun. Saya nak melawat Naura. Saya nak pergi tengok dia. Saya takut bang kalau dia jadi apa-apa,”
Hati Iskandar berdebar apabila mendengar nama Naura. Hatinya semakin tidak keruan.
“Kenapa dengan Naura, sayang?”
“Tak tahulah bang. Sejak kebelakangan ni dia lain. Perangai dia pelik. Pastu dengar cerita, budak-budak ofis cakap dia demam panas teruk. Saya risaulah abang. Mungkin ada sesuatu yang tak kena ni.”
Iskandar tergamam. Takkan Naura jadi macam tu sebab dia kot? Mungkin benar salahnya kerana dia mengahwini Eryna tanpa memberitahu Naura.
“Sayang, tak payah pergi!”
“Lah, kenapa pulak bang?”
“Abang nak awak jaga Fiqa kat rumah. Tak payah hantar dia dekat rumah pengasuh mulai esok,”
“Habis tu bila lagi saya nak pergi melawat Naura bang?”
“Tunggu masa yang sesuai…”
“Baiklah bang kalau itu yang abang nak. Tapi jangan sampai Naura jadi apa-apa, kita yang menyesal sebab tak ambil berat,”
******
Sejak Eryna menceritakan tentang keadaan Naura, Iskandar nekad menanyakan tentang alamat terkini Naura di ofis tempat isterinya bekerja.
Sampai di rumah Naura, keadaan di rumah itu seperti tiada orang. Sunyi sepi. Hanya kereta Vious yang berwarna coklat saja terpacak di anjung rumah Naura.
Iskandar memberi salam berulang kali lantas pintu pagar automatik dibuka. Dengan rasa serba salah, dia masuk lalu mengetuk pintu rumah itu berkali-kali.
“Waalaikumussalam. Sorry ingatkan stranger tadi yang datang,” sahut Naura sambil senyum nipis. Wajahnya tenang seperti apa yang dikatakan oleh isterinya tidak benar.
“Naura, awak… Err, awak sihat? Saya dengar awak demam panas. Sebab tu saya datang ni nak tengok awak,” getus Iskandar. Jelas terpancar wajah risaunya terhadap gadis yang pernah dicintainya itu. Sebenarnya dia masih mencintai Naura. Dia berkahwin dengan Eryna pun atas permintaan keluarganya.
“Masuklah dulu…” Pinta Naura. Dia masih berlagak tenang.
Kemudian, Iskandar masuk ke dalam rumah itu. Dia sempat memerhatikan keadaan di sekeliling rumah Naura.
“Awak duduklah dulu, saya pergi buatkan air,” ujar Naura.
Iskandar hanya merenung wajah Naura. Makin cantik gadis itu tetapi nampak sembab dan ketara pucat sekali.
Naura kembali ke ruang tamu sambil menghidangkan air Nescafe O’ panas kepada Iskandar.
“Your fav, Is…” getusnya perlahan.
“Thank you…”
Sekali-sekala Naura memandang wajah Iskandar. Wajah yang amat dirinduinya tetapi apa yang terbuku di dalam hatinya hanya Allah SWT saja yang tahu. Dia hanya membatukan diri.
“Awak…” Sapa Iskandar.
“Awak, maafkan saya. Saya tahu saya salah, Naura. Saya harap awak…”
Belum sempat Iskandar meneruskan kata-katanya, Naura pantas menyampuk, “Aku dah lama maafkan kau, Iskandar. Ya, kau memang bersalah sebab buat aku macam ni. Kau buat aku macam orang gila yang tak ada perasaan! Sampai hati kau kan. Kau sendiri cakap dulu kau nak kahwin dengan aku, nak buat aku jadi bini kau apa semua.
Tapi sekarang dah lima tahun Is. Lima tahun aku merana tunggu kau yang tak pernah nak balas chat aku. Aku call kau tak angkat. Aku ajak jumpa alasan kau sibuklah, itulah inilah. Rupa-rupanya inilah sebabnya? Kau dah kahwin. Is, kenapa kau tak jujur je dengan aku yang kau dah kahwin?
Jawablah! Kenapa kau tak lepaskan aku dulu? Kenapa kau mesti diamkan diri? Biarkan aku terhegeh-hegeh merayu kat kau. Aku punyalah susah payah usaha untuk ubah diri aku jadi cantik sebab aku fikir kau tak nak awek kau selekeh dan buruk depan orang.
Tapi apa yang aku dapat? Kau kahwin dengan perempuan lain! Kau tipu aku! Kau buat aku macam sampah! Kau berambus! Kau boleh pergi mampus!!! Argh!!!” Getus Naura lalu dia membaling pinggan mangkuknya ke arah dinding. Semuanya pecah berderai.
Iskandar hanya membatukan diri. Dia tidak berani berkata-kata. Air matanya deras mengalir.
“Naura… Please jangan macam ni. Ingat Allah. Awak kena terima kenyataan dan reda yang semua ni dah jadi kerana takdir Allah SWT. Saya tak nak awak jadi bodoh mcam ni,”
“Aku jadi cantik, aku ubah diri aku dengan mekap tapi kau langsung tak pandang. Kau lebih pilih Eryna yang selekeh tu! Kau langsung tak pernah hargai apa yang aku buat. Aku benci kau! Dulu kau susah aku selalu tolong kau. Baik buruk kau semua aku terima. Kenapa kau buat aku macam ni…” Naura terduduk hingga lengannya terkena serpihan pinggan kaca yang pecah. Lantas lengannya penuh dengan lumuran darah.
“Ingat Allah Naura…” Getus Iskandar lalu dia memeluk tubuh Naura. Dia tidak sanggup lagi melihat Naura mencederakan dirinya.
Naura menangis semahu-mahunya. Tangannya kuat menolak tubuh Iskandar namun Iskandar mengeratkan lagi pelukannya.
“Naura saya masih sayangkan awak. Please jangan buat macam ni! Saya kahwin dengan Eryna pun sebab terpaksa sayang. Sebab keluarga saya nak tengok saya ada zuriat, ada keturunan.”
“Stoplah bagi alasan bodoh. Aku malas nak dengar! Aku dah penat sangat nak faham kau tapi kau tak pernah langsung nak faham aku. Kalau macam tu, kenapa kau tak kenalkan aku dengan keluarga kau dulu bodoh!”
Iskandar mengusap rambut Naura lembut. “Saya betul-betul mintak maaf awak. Dulu ya, saya seorang yang panas baran tapi sekarang saya dah berubah. Mungkin masa tu saya tak bersedia lagi nak bawak awak jumpa keluarga saya,”
Kali ni Naura diam kerana terlalu banyak menangis. Sudah seminggu dia seperti ini. Dia merenung wajah Iskandar. Wajah yang yang amat dirinduinya. Pandangannya serta-merta menjadi gelap. Kepala dia berat lantas dia jatuh di dalam pelukan Iskandar.
“I love you sayang…” Desisnya perlahan.
Makin deras air mata Iskandar mengalir. Dia meraup wajah Naura lembut. “I love you too Naura Delisha…”
******
Setahun kemudian…
DENGAN izin Allah SWT, akhirnya Naura berubah dan berjaya melupakan Iskandar. Berkat doa dan usahanya untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu. Dia kini menjadi lebih matang. Iskandar dan juga keluarganya bertambah bahagia walaupun Eryna bersetuju apabila suaminya ingin melamar Naura, Naura tetap dengan pendiriannya.
Dia menolak lamaran itu kerana ingin melihat Iskandar bahagia. Melihat Iskandar bahagia dengan perempuan yang betul-betul boleh buat dia bahagia pun dah cukup membuatkan Naura bahagia. Naura yakin rancangan Allah SWT itu lebih indah. Dia reda takdirnya hanya sementara dengan lekaki itu dan pengalaman ini benar-benar memberikan Naura pengajaran.
“Cinta kepada Ilahi itu pasti dan kekal buat selama-lamanya…” Desisnya sendirian. Sesungguhnya melihat keindahan air laut bersama bunyi deruan ombak sekali-sekala menerpa di kakinya sungguh membuatkan dia tenang. Fikirannya juga tenang. Gambar-gambarnya bersama Iskandar jauh dibuangnya di dalam laut.
Jodoh itu rahsia Allah dan janji-Nya itu pasti. Kebahagiaan akan jadi milik kita bila kita reda dengan suatu kekecewaan. Satu hari, Allah akan gantikan segala kesedihan itu dengan kebahagiaan yang tidak disangka cuma cepat atau lambat saja. Sabarlah… Itu yang penting sekali.

TAMAT

1 comment:

Farrah MF said...

Kasihan Naura. Tapi, itu keputusan terbaik yang diambil :)